20090110

"HANYA orang mati yang selamat di bumi Gaza."

"HANYA orang mati yang selamat di bumi Gaza."



Sebaris ayat yang saya baca di sebuah blog amat meruntun jiwa lantas melarik air mata yang sememangnya tidak mampu dibendung melihat penderitaan saudara seagama nun jauh di bumi Palestin.

Bait-bait ayat yang tertera di blog itu adalah luahan penduduk di Semenanjung Gaza yang bukan sahaja menyaksikan bumi mereka hancur malah merelakan anak, isteri, suami, ibu, ayah dan sanak saudara menjadi mangsa kedajalan rejim Zionis.

Hakikatnya, air mata saya yang terlerai itu hanyalah sebesar zarah jika dibandingkan dengan kesengsaraan rakyat Palestin yang nyawa mereka kini umpama sampah di jalanan. Jika pun sampah masih ada harganya tetapi tidak bagi nyawa rakyat Palestin.

Nyawa penduduk Gaza dilambung umpama bola dan diperjudikan sejak Sabtu lalu tanpa sedikit pun ada belas ihsan, jauh sekali menggunakan kewajaran otak untuk sekurang-kurangnya berperikemanusiaan.

Sebab itu luahan penduduk Gaza kini tidak lagi merayu-rayu dunia supaya berasa kasihan kepada nasib mereka. Mereka tahu dunia tidak boleh berbuat apa-apa selain berhimpun di jalanan mengutuk serangan seumpama itu.

Penduduk Gaza amat daif dan dinafikan kemudahan elektrik serta bekalan air. Mereka yang bergantung kepada bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk terus menghirup udara yang tercemar amat berserah dan pasrah, tidak mustahil mati kini menjadi cita-cita utama mereka.

Penduduk di situ tahu dan amat arif bahawa nyawa mereka akan berpisah daripada badan pada bila-bila masa. Tiada ruang di Gaza yang terlepas daripada menjadi 'tapak penggambaran' kekejaman Israel lantas jika ada di kalangan penduduk di situ terbunuh, mereka bukan lagi 'hero' dalam drama tanpa episod.

Mereka adalah paparan kesengsaraan yang tiada siapa pun sudi peduli jauh sekali menjadikan episod luka itu sebagai teladan hidup. Mereka adalah lantunan sebenar kekejaman dunia yang tergamak mengizinkan dajal meratah sebuah kehidupan yang tidak sepatutnya berlangsung dalam keadaan sesedih itu.

Mengapa dunia mesti berpura-pura menunjukkan keprihatinan? Mengapa kuasa besar bersuara untuk membuka ruang kepada perdamaian sedangkan merekalah yang bertanggungjawab mencetuskan api sehingga tidak boleh dipadamkan sampai bila-bila?

Di mana OIC, di mana umat Islam dan negara Islam yang kaya dengan hasil minyak? Adakah umat Islam sebegitu lemah sehingga membiarkan nyawa saudara kita di Gaza melayang-layang di ruang udara? Adakah kita semakin menjadi 'barua' kuasa besar dan secara tidak sedar membantu melenyapkan umat Palestin dari muka bumi ini.

Hakikatnya, kelemahan umat Islam dan negara Islam semakin terserlah. Seharusnya kematian penduduk Gaza diiringi dengan senyuman bukan lagi tangisan lantaran hanya orang mati sahaja yang selamat di bumi itu dan kita adalah di antara penyumbang kepada kematian itu.

3 comments:

Anonymous said...

wuhuuu!!!cik marina....adelah dengan ini sy ingin meminta maaf kerana sy tidak menegor sapa d muzium telekom tempoh hari...ini disebabkan sy segan(segan2 dok bagan r)...dan semmgnya anda pantas dan sgt tajam penglihatan untuk mengecam sy..


sekian terima kasih...


-kolep

Marina Ina said...

saya memang perasan anda encik kolep! hahaha...berbaju merah gitu!

Anonymous said...

hahahaha...da nampak encik kolep..siap repot kat boipren..hahahaha...


-kolep

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...